25 Februari 2010

PANDANGLAH.....LIHATLAH....JANGAN !!!

Saya sebenarnya berhasrat untuk menulis sesuatu yang lain dari topik ‘aurat wanita’ di dalam artikel kali ini. Akan tetapi, saya merasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa persoalan yang dilontarkan melalui satu komentar di bawah artikel : That’s not hijab!

“Assalamualaikum,

Saya belum berkahwin, pakai tudung tiga segi menutup bawah dada cuma bukan tudung labuh seperti anda..dlm rumah saya pakai baby tee, skirt, gaun dan sluar pendek, cuma kini saya sikit malu lalu menukar dgn sluar panjang tapi masih seksi kiranya. Suatu hari nanti jika berkahwin saya mungkin kekal cara begini?

Saya ada persoalan...kalo benar pakai tudung tapi tak bleh pakai cantik, tak bleh baju color, tak bleh bersolek wpun nipis diluar...benarkah wanita yg bertudung litup seperti anda berhias semata-mata utk suami, waktu bila anda bergaya? Kat rumah? atau anda langsung tidak bergaya pakai cantik2 takut plak anak persoalkan? ramai yg saya jumpa berpakaian seprti anda tetapi berbau, nampak tidak bermaya.muka pucat. Adakah benar dlm hati suami org seperti anda suka melihat isteri begitu?

Saya faham anda akan berhujah tentang kita ni milik Allah jadi kita kena ikut syariat yg ditetapkan. Pada anda, mungkin saya seorang yg tidak faham kerana pengetahuan agama anda high level berbanding saya. Maka itu saya mohon anda down grade sikit utk sampaikan sesuatu agar saya faham. Tak mustahil follower blog anda ialah org yg seperti anda, org biasa baca skali dan blalu pergi. Tak tahulah jika anda tidak kisah yg penting ialah menyampaikan saja.

Saya tidak berniat utk mempersoalkan saja tanpa membuka hati menerima pandangan anda tapi saya cuba dan mahu lagi perbaiki diri. Saya cuma ingin tahu dan minta anda jawab persoalan di atas kerana saya benar2 tidak tahu. Kehidupan dan cerita yg anda sampaikan terlalu sempurna. Saya dahulukan terima kasih – SERI”

PENJELASAN SAYA
Setiap kali saya melakar bait-bait kata yang menyentuh tentang aurat seorang wanita, saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya bukan menulis kerana merasakan pakaian saya adalah contoh terbaik. Akan tetapi ia lebih kepada peringatan kepada diri sendiri dan teman-teman pembaca agar sentiasa berusaha kepada penyempurnaannya sedaya yang kita ada. Malah, banyak masanya, ketika memberi nasihat serta peringatan kepada orang lain, acap kali juga sengaja saya kenakan ke batang hidung sendiri. Biar tidak lupa diri !

Apa yang penting perhalusilah isinya dengan mencari jalan dan keyakinan iman untuk melaksananakan tanpa perlu mengandaikan sama ada pakaian individu tertentu termasuk saya sebagai role model terbaik atau tidak. Persoalan itu tidak timbul.

Semuanya bertitik tolak atas dasar ilmu serta nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, justeru saya merasa bertanggungjawab untuk memberi sedikit penjelasan dan pendirian berpandu ayat-ayat Allah SWT dan Sunnah Rasul Junjungan.

Sebagai tambahan, suka saya mengingatkan bahawa dalam memperkatakan sesuatu berkait hukum, sama ada kita telah melaksanakan yang terbaik atau sedang berusaha melakukan yang lebih baik, itu merupakan persoalan kedua. Pokok utama, ialah bersikap jujur dan amanah dengan ilmu Allah SWT. Telus menyatakan kebenaran, walau ada ketikanya lebih banyak kepahitan perlu ditelan berbanding kemanisan yang menghadirkan ketenangan.

ANDAIAN DAN JAWAPAN
Persoalan yang dilontarkan oleh SERI, bahawa benarkah orang yang bertudung litup di luar, benar-benar berhias semata-mata untuk suami, atau sebenarnya tidak bergaya cantik lansung, adalah satu agakan dan andaian semata-mata. Pada saya perkara itu kurang manis untuk ditanya, kerana saya juga boleh melontarkan pertanyaan yang sama ( tapi tidak serupa ) iaitu benarkah wanita yang berhias dan terlalu menjaga penampilan di luar, akan berkeadaan serupa di dalam rumahtangga ? Di hadapan suami terutamanya ? atau sebenarnya ketika di rumah, mereka hanya biasa-biasa sahaja, buat apa nak bergaya, bukannya nak ke mana-mana ?

Kerana itu, pada saya tidak wajar menghukum semua Muslimah yang bertudung labuh, sebagai berbau tidak menyenangkan dengan muka pucat dan tidak bermaya, hanya dengan melihat beberapa orang berkeadaan sebegitu rupa. Pukul rata dalam hal seumpama ini adalah satu ketidakadilan.

Memang benar mengabaikan kebersihan bukan sikap yang diterima Islam, dan demikian juga bersolek serta berhias dengan pakaian berwarna yang terlalu menyerlah untuk menjadikan diri cantik dan kelihatan lebih menarik. Ia juga tidak digalakkan.

PERSOALAN WARNA
Saya tidak menolak pakaian berwarna warni kerana saya juga masih mengenakan pakaian sedemikian apabila keluar bersama keluarga. Cuma warna yang perlu dielakkan ialah warna-warna yang terlalu terang ( striking ) dan menyilau pandangan. Justeru itu, saya menyatakan warna gelap dan suram atau warna-warna lembut dan sederhana lebih selamat dari pandangan kaum lelaki di jalanan.

Mungkin akan ada yang menyoal kembali:

“Tidakkah wanita yang memakai warna hitam akan lebih menarik pandangan orang sekiranya dia berada di dalam suasana semua orang memakai pakaian berwarna garang dan ceria ?”

Saya akan menjawab begini :

“Pandangan yang terhasil kerana ‘berlainan’ dari orang sekeliling tidak sama dengan pandangan yang terhasil kerana tertarik dengan keindahan dan kecantikan. Pakaian pertama mungkin hanya menyebabkan orang merasa jengkel dan hairan berbanding pakaian bentuk kedua yang mampu menggoncang iman para jejaka. Di samping ia boleh memberi indikasi kepada lelaki bahawa wanita sebegini masih dari ‘jenis’ suka berfesyen dan bercantik walau telah menutup tubuh badan. Kesannya, seorang lelaki boleh membuat kesimpulan wanita ini mudah didekati, lebih mudah diajak berbual, dan mungkin juga lebih mudah untuk digoda. Kerana pakaian sebegitu boleh membawa maksud dan melambangkan ‘tolerability’ diri pemakai. Itulah kemerbahayaan yang dibimbangkan dan patut dielakkan !”

Reaksi sebegitu pasti tidak mudah berlaku bila wanita berpakaian dengan warna yang sederhana dan suram warnanya, juga sudah pasti tidak ketat dan nipis kainnya. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini, namun itulah pandangan saya dan suami berdasarkan penelitian kami berdua.

HANYA UNTUK SUAMI
Justeru itu, apa yang dianjurkan oleh agama yang mulia ini ialah menjaga kebersihan, tidak selekeh, berpenampilan kemas dan sederhana pada gaya. Sementara, jika mahu bersolek dan mengenakan pakaian yang melirik tumpuan mata, cukuplah hanya di hadapan suami tercinta.

Keadaan inilah sewajarnya seorang Muslimah lakukan di dalam rumahtangga. Pakaian yang dikhususkan untuk suami di rumah sememangnya bukan pakaian yang biasa dipakai ketika di luar. Tidak perlu saya menerangkan lebih lanjut jenis dan bentuk pakaian yang bagaimana, cukup saya nyatakan bahawa seorang isteri sepatutnya memakai pakaian yang digemari dan biasanya dibeli oleh suami sendiri. Tidak semestinya seksi dan terbuka sana sini !

Perlu saya sebutkan di sini, bukan semua lelaki bergelar suami gemar isterinya bersolek cantik. Setakat pengalaman saya berbual dan bertukar pandangan dengan wanita lain, ada di antaranya menyatakan bahawa suami mereka tidak suka melihat mereka mengenakan alat solekan dan berhias berlebih-lebihan kerana ia seumpama penipuan dan khayalan semata-mata. Bukan tulen.

Kecantikan asli dengan tambahan nilai dari pekerti yang luhur dan terpuji lebih dihargai berbanding kecantikan palsu yang tercipta dari alat make-up pelbagai jenama. Keadaan inilah yang sukar difahami oleh sesetengah wanita melainkan jika mereka telah bersuami dan bergelar isteri.

CANTIK BUKAN PENENTU
Saya suka membawa pembaca semua melihat sudut lain kecantikan seorang wanita. Kecantikan bukan hanya boleh diperolehi melalui solekan dengan warna di mata, pipi dan bibir yang merah menyala. Akan tetapi, kecantikan juga mampu didapati melalui kaedah tradisional dan petua-petua lama.

Untuk diri saya sendiri, saya juga pernah mengenakan solekan di wajah. Pastinya hanya di dalam rumah. Namun kini, setelah menilai baik buruk menggunakan alat-alat solek dari bahan kimia, menatap wajah-wajah artis barat yang mana kejelitaan asli mereka telah sirna dek terlalu kerap menggunakan make-up pada muka, saya beralih kepada penggunaan sumber asli yang lebih mudah diperolehi dan murah pula harganya.

Kini, saya mengamalkan menyapu madu untuk memerahkan bibir dan hanya menggunakan serbuk kacang hijau yang telah ditapis ( bagi mendapatkan tekstur yang paling halus ) untuk membersihkan kulit muka dan badan seluruhnya. Selebihnya, hanya perlu mengenakan pelembab kulit dan bedak biasa baik ketika di rumah mahu pun sebelum keluar bersama keluarga. Sementara untuk penjagaan kesihatan, saya menganjurkan kita semua mengamalkan madu, kurma dan air susu di samping pengambilan vitamin C, B Kompleks dan lain-lain yang perlu.

Ingatlah, cantik tubuh, fizikal dan pakaian bukan penentu segala. Ia tidak dapat membeli bahagia dan ia juga bukan jaminan keutuhan sesebuah rumahtangga. Lihatlah, berapa ramai artis dan golongan terkenal, gagal mengekalkan keharmonian walaupun mereka berwajah cantik menggoda. Ada banyak perkara lain yang perlu diambil berat untuk menjadikan pasangan suami isteri kekal bahagia hingga ke syurga. Cantik hanya menyumbang sebahagian kecil sahaja. Paling penting adalah tanggungjawab, rasa percaya, yakin serta bersedia memberi kasih dan cinta yang tidak berbelah bagi kepada pasangan dan rumahtangga.

PANDANGLAH..LIHATLAH..JANGAN !
Akhirnya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa persoalan menutup aurat dan hijab, bukanlah berkisar kepada tudung semata-mata. Itu perlu difahami sebaiknya oleh semua Muslimah di luar sana. Bahkan tudung hanya merupakan sebahagian sahaja dari maksud sebenar menutup aurat dan berhijab di dalam Islam. Kerana itu, apabila menyentuh dua perkara tersebut, tidak dapat tidak saya harus menjelaskan dari sisi yang paling tepat dan sahih sebagaimana yang dikehendaki agama, baik dari sudut warna pakaian, solekan, berwangi-wangian dan sebagainya.

Sekian banyak di dalam hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan tentang fitnah wanita di penghujung usia dunia, maka sudah tentu sikap bermudah-mudah dan mengambil ringan terhadap pelaksanaan kedua-duanya akan mendatangkan kesan buruk dan bencana.

Yakinlah, semakin terhindar seorang Muslimah dari pandangan kaum lelaki semakin baik dan mulia harga dirinya di sisi agama, kerana Allah SWT memerintahkan lelaki-lelaki mukmin untuk menjaga pandangan mereka. Namun, bagaimana mungkin para lelaki mukmin dapat menjalankan perintah ini jika kaum muslimahnya berhias diri dan mempamer keindahannya ? Justeru, kerana itulah syariat menganjurkan wanita menutup aurat dan berhijab dengan sempurna, iaitu untuk menjaganya dari pandangan kaum lelaki, terutama pandangan yang tercipta dari anak panah syaitan durjana. Bak kata orang muda, dari mata jatuh ke hati. Sukma bergelora, nafsu membara !

Rasulullah SAW menegaskan di dalam sabdanya yang bermaksud :

“Sebaik-baik saf lelaki adalah saf paling depan dan sejelek-jeleknya adalah saf terakhir. Dan sebaik-baik saf wanita adalah saf terakhir, dan sejelek-jeleknya adalah saf paling depan.” ( Hadis riwayat Muslim).

Pesan Baginda ini menjelaskan bahawa saf terburuk bagi wanita adalah yang paling hadapan karena akan lebih mudah terlihat oleh kaum lelaki. Jika keadaan ini yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum wanita ketika solat, maka sudah tentu di dalam suasana dan kegiatan bukan ibadah, mereka lebih dianjurkan untuk memelihara diri dari menjadi titik tumpu pandangan lelaki.

Insaflah, sikap berlapang dada untuk mematuhi semua perintah agama itu hanya akan dirasakan oleh orang-orang beriman dan bertakwa. Orang-orang yang menyerahkan sepenuh jiwa dan sangka baik mereka kepada ketentuan Allah SWT dan Rasul-Nya. Keadaan ini amat berbeza dengan orang-orang yang hatinya berpaling, maka setiap ajaran Islam akan terasa berat dan sukar untuk dilaksana. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, karena sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu .” ( Surah Al-Baqarah ayat 45 )


Wahai muslimah, mari kita bermuhasabah.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




**Contoh gambar pakaian Muslimah**.




**Contoh pakain yang tidak menepati ciri-ciri menutup aurat**.



Petikan ini diambil dari Mencari dan Terus Mencari cinta ILLAHI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan